Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, selepas bapa mangsa yang berusia 38 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang kepada kes culik mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.

"Namun, hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian ini tidak berkait dengan penculikan kerana sehingga kini keluarga mangsa tidak menerima sebarang ugutan seperti meminta wang tebusan atau ancaman mencederakan mangsa.

"Bagaimanapun, pihak polis tetap meneruskan siasatan untuk mengesan di mana lokasi sebenar suspek dan mangsa yang dipercayai berada di sempadan hingga kini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati kejadian itu berlaku di atas kerelaan mangsa sendiri kerana sebelum ini mangsa yang dikategorikan sebagai seorang gadis yang sukar dikawal telah lima kali keluar dengan suspek pada tahun 2016.

"Bapanya telah membuat empat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Jadi, kami meminta kerjasama dengan keluarga mangsa agar berhubung dengan pihak polis segera jika menerima panggilan telefon atau sebagainya daripada mangsa untuk tindakan seterusnya.

"Polis telah mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi mengesan pergerakan keluar masuk suspek ke negara ini. Kita juga telah menyenaraikan nama suspek dalam senarai orang yang dikehendaki selain membuat beberapa serbuan di alamat kediamannya namun suspek tiada," jelasnya.

Tambahnya, kes ini tidak akan selesai jika keluarga mangsa dengan sengaja menularkan kejadian ini di laman sosial Facebook dengan kenyataan yang tidak berasas.

Kosmo! pada 4 Ogos lalu melaporkan sebuah keluarga memohon polis agar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mengesan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun yang didakwa dilarikan seorang lelaki sejak empat bulan lalu. - K! ONLINE