Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tiada penahanan baharu yang dilakukan pihaknya selepas dua penahanan Selasa lalu.

"Tiada tangkapan baharu setakat ini, yang kita tangkap dua orang sahaja ( isteri ketiga Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suami wanita itu, Nizam Mydin Bacha Mydin) beberapa hari lepas (Selasa lalu).

"Laporan berita yang viral (tular) itu tidak betul. Saya nafikan pihak kita ada tahan dua anak tiri mangsa itu,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita pada hari ini yang melaporkan polis telah menahan dua anak tiri mangsa malam tadi yang ketika itu berada di rumah datuknya.

Dalam kejadian petang Hari Raya Aidilfitri 14 Jun lalu di rumah teres dua tingkat di Lorong PJU 7/24A, Mutiara Damansara di sini, Nazrin ditemui terbunuh selepas telefon bimbit milik­nya dikatakan meletup ketika dicas.

Siasatan ketika itu me­ngesyaki Nazrin mati akibat terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur di rumah­nya. Mangsa mempunyai kesan melecur 30 peratus.

Bagaimanapun, pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Se­nior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan semula kematian Nazrin sebagai kes bunuh berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menemui kesan petrol  di dalam bilik Nazrin yang terbakar.

Kesan minyak petrol itu ditemui di kepala, katil, tilam dan telefon bimbit tempat mangsa ditemui mati.

Berikutan laporan pasukan bomba itu, polis Selangor membuka kertas siasatan bersabit kematian Nazrin termasuk memanggil Samirah dan beberapa individu lain bagi diambil keterangan. - K! ONLINE