Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan secara berperingkat turut akan diambil ke atas mereka yang didapati terlibat dengan sebarang salah laku oleh SPRM serta Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Kita ada menerima surat layang berkaitan salah laku dan isu rasuah dalam kalangan warga PDRM, sehubungan itu JIPS diketuai oleh Pengarahnya, Datuk Zamry Yahya sendiri banyak turun padang bagi menyedarkan serta memberi amaran kepada mereka yang terlibat.

“Saya akui bersedih namun saya harus terima hakikat bahawa masih ada segelintir yang masih berdegil,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 di Kem Bina Semangat di Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penahanan empat anggota trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Hulu Selangor oleh JIPS Bukit Aman kelmarin selepas dipercayai menerima rasuah.

Dalam pada itu, SPRM turut menahan enam anggota serta Timbalan Pendakwa Raya dan seorang peguam pada Rabu lalu kerana dipercayai menerima rasuah bagi melepaskan pendatang asing tanpa izin yang sepatutnya dihantar ke depoh tahanan Imigresen. - K! ONLINE