Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, pihak bomba sudah pun memulakan siasatan forensiknya, tetapi pihak polis belum lagi menerima laporan hasil siasatan mereka.

"Setakat ini pihak polis masih mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara pihak bomba meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar dan Latihan Ancaman Keganasan Ex-Rampas 2018 di sini hari ini.

Katanya, angka korban dan kecederaan masih kekal seperti yang dilaporkan sebelum ini, iaitu tiga kematian dan 44 orang cedera.

Semalam, Pengarah Urusan NeNe Chicken Malaysia, franchise yang mengusahakan outlet di CityOne Megamall, Raymond Wong telah menggesa agar pihak berkuasa mempercepatkan siasatannya ke atas insiden itu.  

Beliau juga mahu hasil laporan berkenaan diumumkan secepat mungkin. - Bernama