Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, ketika kejadian, individu berkenaan yang memandu kereta Toyota Vios turut didapati melanggar lampu isyarat merah.

"Pada 12.43 malam tadi, polis menerima aduan daripada seorang individu berhubung penularan rakaman video dan gambar yang dikongsi di laman Facebook 'Komuniti Taman Scientex' yang disyaki berlaku di kawasan Taman Scientex Pasir Gudang.

"Perbuatan yang dilakukan dalam video berkenaan (meniarap pada cermin belakang dan bonet kereta) boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, berikutan insiden itu, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik, pemandu dan juga kanak-kanak yang terlibat dan menurutnya siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perlakuan atau perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri, orang lain.

Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu agar menghubungi balai polis berhampiran atau Balai Polis Seri Alam dengan menelefon 07-3864 222 untuk membantu siasatan. – Bernama