Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan kejadian tersebut.

Menurutnya lagi, siasatan kini dijalankan di bawah Kertas Enkuari Polis (KEP).

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, tiada sebarang bahan letupan ditemui selepas pemeriksaan dijalankan.

“Siasatan awal mendapati, kaunter Balai Polis TTDI telah menerima panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu terdapat satu letupan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 11.10 pagi.

“Susulan itu, kita telah menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan mahkamah terbabit dan tiada bahan letupan ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, kakitangan dan orang ramai di mahkamah gempar hari ini apabila mereka diarahkan mengosongkan bangunan tersebut apabila menerima ancaman bom di sana. - K! ONLINE