Dalam kejadian pukul 9.20 pagi, mangsa berusia 31 tahun itu dikatakan diserang suspek berikutan enggan membuka palang keluar tempat letak kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner, Ruslan Khalid berkata, hasil siasatan mendapati suspek menaiki sebuah kereta jenis Range Rover dikatakan enggan membayar wang parkir berjumlah RM3 menyebabkan mangsa enggan membuka palang.

“Susulan itu, suspek bertindak memarahi sebelum menyerang mangsa. Bagaimanapun, dalam pergelutan itu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak polis sudah mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. - K! ONLINE