Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata suspek didapati menyamar sebagai Setiausaha Dewan di-Raja Selangor yang menawarkan anugerah 'Datuk', kononnya daripada Istana Selangor.

"Kita percaya akan dapat menyelesaikan kes ini dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mazlan berkata polis menjalankan siasatan susulan laporan polis yang dibuat   Dewan di-Raja Selangor pada Isnin lepas berhubung sepucuk surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor yang membawa gelaran 'Datuk' kepada individu bernama Goh Boon Leong.

"Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di bawah  Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu tipu dengan jalan penyamaran, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Pada masa sama, Mazlan menasihati orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sekiranya ada sebarang keraguan melibatkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor bagi mengelak daripada terpedaya dengan cubaan individu tertentu melakukan penipuan.

Semalam, Dewan di-Raja Selangor dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor kepada individu berkenaan.

Sehubungan itu, Setiausahanya Hanafisah Jais membuat satu laporan polis atas dakwaan pemalsuan surat berkenaan yang kononnya telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

"Surat palsu berkenaan juga mengandungi beberapa fakta tidak benar termasuk menggunakan jata negeri Selangor yang salah serta nama dan tandatangan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor yang palsu.

"Perbuatan ini adalah satu jenayah penipuan yang amat serius dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai, menjejaskan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta mencemarkan institusi diraja Selangor," kata Hanafisah. - Bernama