Sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Anggerik Emas, di Semenyih selepas menghantar seorang lagi ahli keluarga mereka ke stesen pengangkutan awam berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, kemalangan tersebut berlaku sewaktu kesemua mangsa sedang memandu menghala ke arah Sungai Long dari Balakong.

"Kemalangan sekitar pukul 6.20 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis BMW X3 dipandu oleh Goh Tian Hing, 44, telah hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya lalu terbakar.

"Susulan kemalangan itu, Tian Hing beserta ibunya, Saw Yeng Fui, 65, yang duduk di tempat penumpang hadapan dan bapanya Goh Soay Sing, 68, di tempat duduk penumpang belakang rentung dalam kebakaran tersebut," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Azman, siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan tiada saksi yang melihat kemalangan tersebut, namun siasatan berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujar beliau. - K! ONLINE