"Kita percaya kedua-dua individu ini telah meninggalkan negara ini. Justeru itu kita akan bekerjasama dengan polis luar termasuk Interpol bagi mengesan kedua-kedua mereka  ini," beliau berkata demikian selepas menyertai Operasi Bersepadu JIM di Jalan Petaling di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Waran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri dan kehilangannya dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira pukul 5.30 petang.

Sementara itu, media tempatan melaporkan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah telah melarikan diri ke luar negara selepas didakwa mengugut Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - Bernama