Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, kesemua suspek yang dipercayai warga tempatan bertindak menyerbu restoran tersebut dan mengugut pelanggan yang sedang minum di situ.

“Salah seorang suspek datang ke seorang pelanggan dan mengacukan senjata menyerupai pistol terhadapnya dan meminta barangannya di dalam beg yang dibawanya namun mangsa berkeras untuk tidak menyerahkan beg tersebut.

“Akibatnya, suspek telah merampas beg mangsa dengan kasar dan pada waktu itu, pistol yang dipegangnya terjatuh dan mangsa menyedari bahawa ia adalah pistol mainan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, suspek kemudian mengambil semula pistol tersebut dan kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal mereka.

“Suspek telah menyamun empat unit telefon bimbit milik mangsa bersama dengan beberapa barangan lain.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata,” ujarnya. - K! ONLINE