Ketua Polis Daerah Sentul, S. Shanmugamoorthy berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang selepas mangsa, seorang wanita berusia 32 tahun menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali meminta dia mengalihkan keretanya yang menghalang lalu lintas di kawasan itu.

"Apabila tiba di kereta, wanita berkenaan telah dimaklumkan oleh tiga lelaki yang berada di situ bersama sebuah lori tunda bahawa keretanya mempunyai tunggakan bayaran pada bank selama 19 bulan dan cuba untuk menarik kereta tersebut.

"Cubaan mangsa untuk menghubungi pihak bank telah dihalang oleh ketiga-tiga suspek dan pihak polis yang tiba tidak lama kemudian telah mengarahkan ke semua mereka untuk pergi ke balai polis bagi membuat laporan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 2 minit 3 saat tular di laman Facebook memaparkan tindakan seorang lelaki yang dilihat berkeras mahu menarik kereta milik mangsa.

Lelaki berkenaan bersama dua lagi rakannya mendakwa mangsa mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank dan kelihatan sangat meyakinkan apabila bercakap dengan anggota polis yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Shanmugamoorthy, ketiga-tiga suspek bagaimanapun gagal untuk menghadirkan diri ke balai berdekatan bagi membuat laporan polis.

"Mangsa mendakwa, dia tidak pernah menerima sebarang notis tunggakan pembayaran ataupun sebarang notis penarikan kereta daripada pihak bank.

"Butiran ketiga-tiga suspek telah diperolehi dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan," tegas beliau. - K! ONLINE