Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, dua daripada suspek lelaki warga tempatan yang dikenal pasti ialah Tong Lip Seong dan Tung Seong Long masing-masing berusia 30 tahun. 

Menurut beliau, pihaknya menahan lima suspek berusia 24 hingga 61 tahun kelmarin di dua lokasi berasingan dalam tempoh kurang 12 jam sebaik laporan dibuat pada pukul 8.10 pagi, hari sama. 

"Seramai lima lagi suspek yang masih bebas dan sedang dikesan bagi membantu siasatan dan antara mereka ialah Tong Lip Seong dengan alamat terakhir di Lot 1493, Bukit Pelandok di Port Dickson. 

"Seorang lagi suspek ialah Tung Seong Long yang mana alamat terakhir di No. 3A, Jalan Merpati di Port Dickson," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. 

Noor Azam berkata, dalam kejadian pada pukul 3 pagi Ahad lalu, sekumpulan lelaki bertopeng melarikan 60 kotak berisi inai dengan setiapnya seberat 7.2 kilogram dari dua kontena yang disimpan dalam premis tersebut. 

Beliau memaklumkan, pihak JKDM percaya ada antara kotak tersebut mengandungi dadah jenis ketamin dan heroin. 

Bagaimanapun, jelasnya, anggaran kerugian belum dapat dipastikan kerana daripada 60 kotak yang disamun, bukan semua dipercayai mengandungi dadah. 

Sementara itu, mengulas mengenai tangkapan pada Ahad lalu, beliau berkata, antara suspek yang ditahan ialah dua pengawal keselamatan yang bertugas mengawal stor berkenaan, dua anggota kastam dan seorang lelaki awam. 

"Rentetan tangkapan seorang lelaki awam di Bukit Pelandok, pihak polis menemui satu bungkus plastik mengandungi dadah dipercayai ketamin seberat 48.32 gram, wang tunai RM58, 973 dan dua buah kereta bersama anak kunci jenis Toyota Vellfire dan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu," katanya.

Rampasan lain adalah alat timbang, sebahagian kotak kertas terbakar bertanda "AZROO MEHNDI", tujuh unit telefon bimbit serta beg jenama Louis Vuitton warna hitam. 

"Kesemua suspek ditahan reman enam hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Suspek lelaki awam terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - K! ONLINE