Tiga pegawai polis dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dilihat memasuki pejabat Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin negeri Selangor pukul 6.30 petang tadi. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. 

"Ya, polis sedang ambil keterangan Ganabatirau," katanya ringkas ketika dihubungi sebentar tadi. 

Ganabatirau menerusi laman sosial Facebooknya pada 26 November lalu telah memuatnaik kenyataan kononnya terdapat sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini. 

Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan itu sebagai rasis.

Terdahulu, Ganatabirau ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memaklumkan akan memberikan keterangan kepada pihak polis mengenai kenyataan dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, hari ini.

“Saya sahkan akan dipanggil polis untuk diambil keterangan mengenai kenyataan saya tempoh hari.

“Sepatutnya saya perlu hadir ke IPK Selangor tetapi disebabkan ada mesyuarat perlu dihadiri, polis akan datang ke pejabat saya petang ini,” katanya. 

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy dan Ganabatirau. - K! ONLINE