Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata kerjasama penuhnya dengan pihak polis membuktikan kerajaan baharu mahukan kebenaran didedahkan.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menjawab tiga soalan penting berhubung kehilangan RM19.25 bilion dalam Akaun Amanah Tuntutan  GST yang menjejaskan 121,429 syarikat dan individu.

"Adakah Najib memberi kuasa tuntutan bayaran balik CBP tidak dibuat dalam tempoh dua minggu seperti yang ditetapkan oleh undang-undang? Adakah beliau membenarkan Tan Sri Dr. Irwan Serigar untuk tidak memindahkan bayaran balik sebanyak RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Kastam tetapi hanya RM63.5 bilion sejak 2015 ke Akaun Amanah Tuntutan GST?

"Adakah dia (Najib) meluluskan pembayaran balik GST tidak dibayar balik sejak 2015, diperakui sebagai hasil kerajaan dan digunakan mengikut kehendak kerajaan?" kata Guan Eng dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan menghadapi kekurangan RM19.25 bilion memandangkan hanya terdapat RM148.6 juta dalam Akaun Amanah Tuntutan GST sedangkan sepatutnya terdapat RM19.4 bilion.

Guan Eng berkata, perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam yang menyatakan bahawa jabatan itu semasa mesyuarat bulanan jawatankuasa Tabung Amanah meminta RM82.9 bilion dipindahkan ke Akaun Amanah Tuntutan GST namun hanya RM63.5 bilion dimasukkan. - Bernama