Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya telah selesai merakam percakapan ibu bapa bayi tersebut baru-baru ini.

"Kita juga dalam proses merakam percakapan beberapa jiran berhampiran rumah pengasuh itu bagi melengkapkan siasatan.

"Buat masa ini, hanya pengasuh wanita terbabit ditahan," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Noor Azam memaklumkan, pihaknya enggan membuat sebarang kesimpulan berhubung kejadian itu kerana siasatan terperinci masih berjalan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku sama ada mangsa diketuk atau terjatuh sendiri.

Tambahnya, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk berapa lama wanita terbabit menjadi pengasuh selain melihat rekod terdahulu jika terdapat aduan daripada ibu bapa lain yang pernah menggunakan khidmatnya.

"Biar siasatan polis selesai dahulu dan selepas itu kita akan maklumkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya," ujarnya. - K! ONLINE