Petunjuk baharu itu bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana dibimbangi boleh menganggu tugas penguatkuasaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, ahli perniagaan itu akan dibawa balik tidak lama lagi dan semua orang tertunggu-tunggu kerana dia adalah petualang kepada negara.

"Jho Low yang telah melakukan 'rompakan' sehingga negara terhutang dengan begitu banyak wang dan ini (apa yang berlaku) amat menyedihkan.

"Apa yang boleh dikongsikan, ‘nyawa’ Jho Low kini semakin hari semakin pendek dengan penemuan petunjuk baharu itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke Kelantan hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan meluangkan masa melakukan tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand.

Turut hadir Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah; Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Ramly Poncho.

Abdul Hamid memberitahu, Jho Low disifatkan sebagai 'pengecut' apabila mengeluarkan kenyataan mempersenda-sendakan tindakan kerajaan ke atasnya walaupun pelbagai bukti telah didedahkan di mahkamah.

Katanya, ahli perniagaan itu wajar disumbat ke dalam penjara dengan segala penipuan yang telah dilakukan itu. -K! ONLINE