Antara kawasan yang terjejas adalah di Lorong Tiong Nam 1, Chow Kit yang melibatkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah premis di situ. Selain itu, terdapat juga pokok tumbang di Jalan Raja Uda, Kampung Baru yang menghempap sebuah kereta.

Sebatang pokok turut tumbang berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)  menghala ke Jalan Kinabalu di sini serta kawasan berhampiran Masjid Negara di sini.

Laluan jalan raya juga turut terhalang di sekitar pusat beli-belah City One di Jalan Munshi Abdullah di sini kerana banjir kilat yang menyebabkan kesesakan jalan raya di kawasan tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan menerima lima laporan kes pokok tumbang disebabkan hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur, pihaknya menerima laporan kejadian pokok tumbang kira-kira pukul 4 petang.

“Seramai 23 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Titiwangsa, Tun Razak dan Jinjang telah dikejarkan ke lokasi yang terjejas.

“Setibanya di lokasi, anggota bertindak memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang seterusnya memastikan kawasan sekitar selamat. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - K! ONLINE