Kunjungan hormat itu dibuat bersempena lawatan rasmi selama dua hari Joko ke Malaysia bermula semalam.

Turut mengiringi Joko atau yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi pada lawatan kali ini ialah isterinya, Iriana Joko Widodo.

Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin tersebut antara lain membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala dan kepentingan serantau.

Jokowi dalam ciapan Twitter berkata antara perkara yang ingin dibincang bersama Mahathir termasuk soal perlindungan warganegara Indonesia, kerjasama perbatasan dan diskriminasi produk kelapa sawit kedua-dua negara.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini merupakan lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April lepas. 

Indonesia merupakan negara jiran paling dekat dan terpenting bagi Malaysia dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017. - Bernama