Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam catatan Facebooknya hari ini berkata: “Empat tahun telah berlalu sejak kehilangan tragik MH370, namun penumpang dan kru di dalam  pesawat itu tetap dalam doa serta ingatan kita.

"Seperti yang ditunjukkan dalam pencarian terkini yang kita tugaskan, kita tetap komited untuk mencari dan menemukan nasib mereka di dalam pesawat itu.

“Sehingga itu, kita tetap komited dalam mengingati mereka dengan mendesak komuniti penerbangan untuk mengambil pelbagai langkah perlu bagi menjadikan penerbangan di udara lebih selamat dan memastikan tragedi sedemikian tidak akan berulang," katanya.

Pesawat MH370 hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, membawa bersamanya 239 penumpang dan anak kapal.

Australia, Malaysia dan China telah memberhentikan pencarian bersama di dasar laut pesawat itu yang dijalankan selama dua tahun, pada Januari tahun lepas.

Tiada langsung isyarat yang boleh membawa kepada penemuan pesawat itu di kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.

Setakat ini hanya tiga cebisan MH370 disahkan ditemui di kawasan pantai barat Lautan Hindi termasuk bahagian sayap flaperon berukuran dua meter.

Operasi yang dijalankan syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat yang diberikan mandat rasmi untuk melakukan pencarian di kawasan seluas 16,000 km persegi awal tahun ini, gagal menjumpai sebarang bukti kukuh. - Bernama