Pada tahun ini persidangan itu dijangka bakal menyaksikan perbincangan hangat memandangkan dunia kini dilanda pelbagai ketidaktentuan termasuk perang perdagangan Amerika-China, persaingan untuk menjadi kuasa ketenteraan berteknologi tinggi dan kebangkitan dasar perlindungan.

Perdana Menteri akan menjadi pemimpin pertama yang akan menyampaikan ucapatama pada persidangan itu tahun ini, yang tepat bertajuk "Mencari Order Baharu Dunia - Mengatasi Huru-hara".

Para pemimpin Asia lain yang juga dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan itu ialah Perdana Menteri Bangladesh, Sheik Hasina, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Persidangan Nikkei yang dianjurkan Nikkei Inc setiap tahun sejak 1995, menghimpunkan ketua-ketua kerajaan dan para pemimpin perniagaan untuk berkongsi wawasan mengenai masa depan Asia dan dianggap sebagai antara persidangan antarabangsa terpenting di Asia. - Bernama