Beliau berkata PLKN, yang diperkenalkan pada 2004, telah berjaya menerap semangat cintakan negara bagi membolehkan masyarakat hidup dengan aman dan damai tanpa sebarang isu perkauman. 

"Nilai saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain, bekerjasama dan bertoleransi dalam negara amat penting bagi negara ini yang berbilang kaum dan agama. 

"Untuk itu, PLKN sentiasa relevan dalam hal ini di mana latihan-latihan yang diterima pelatih kini diberi nafas baru, modul ditambah baik dengan pelaksanaannya berjalan dengan baik serta tidak mempunyai masalah sosial dan keselamatan," katanya pada Majlis  Perasmian Penutup Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 Kumpulan 1 Siri 15/2018 di Kem PLKN Dusun Resort di sini hari ini.   

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohmed Asri Yusof berkata, seramai 11,776 orang telah mengikuti PLKN Kumpulan 1 Siri 15/2018 di seluruh negara yang bermula 6 Januari lalu.

Katanya jumlah itu melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 6,000. 

"Peningkatan jumlah kemasukan pelatih secara sukarela ini menunjukkan respon baik oleh ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai PLKN bagi mendapatkan pengetahuan serta latihan selama 2 bulan. 

"Perkembangan ini sangat membanggakan terutama di mana ramai calon menawarkan diri secara sukarela untuk mengikuti latihan PLKN," katanya.

JLKN akan membuat tiga lagi sesi  pengambilan tahun 2018 iaitu 17 Mac hingga 13 Mei, 14 Julai hingga 9 September dan 22 September hingga 18 November. - Bernama