PKNP FC mendapat gol tunggal kemenangan pada minit ke-66 hasil daripada kesilapan pemain pertahanan pelawat, Ahmad Khuzaimi Piee yang tertampan bola hantaran pemain penyerang tuan rumah, Yashir Pinto.

Awal permainan, kedua-dua pasukan bermain agak perlahan dan berhati-hati dengan bola banyak berlegar-legar di tengah padang. 

Tuan rumah memperoleh percubaan terbaik pada babak pertama pada minit ke-22 menerusi rembatan pemain tengah, Mohamad Al-Fateh Mohd. Afendi dari luar kotak penalti namun penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat mendakap kemas bola tersebut.

Pelawat juga berpeluang mendapatkan jaringan pada minit ke-62 menerusi rembatan penyerangnya, Patrick Reichelt namun berjaya ditepis penjaga gol PKNP FC, Amar Asyraaf Omar. 

PKNP FC memperoleh beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol namun dinafikan pertahanan dan Khairul Fahmi. 

Jaringan tunggal PKNP FC ke atas Melaka United tersebut kekal sehingga ke tiupan wisel penamat. - K! ONLINE