Kebanyakan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan dalam tempoh yang lama sehingga terpaksa menempuh perjalanan melebihi 10 jam dari Kuala Lumpur menuju ke Gua Musang.

Rata-rata pengguna jalan raya mengatakan mereka sudah merancang perjalanan apabila bertolak pada lewat malam dan awal pagi bagi mengelak kesesakan.

Namun, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) memberi diskaun tol 50 peratus bermula malam tadi dan Khamis ini sempena sambutan Aidilfitri turut menambah bilangan jumlah kenderaan ke kampung.

Seorang penyelia, Mohd. Abdul Hadi Mohd. Noor, 32, berkata, dia telah merancang perjalanan untuk pulang ke kampung apabila memilih waktu awal pagi untuk pulang ke kampung.

“Setiap tahun kami akan berdepan kesesakan jalan raya untuk pulang ke Kelantan. Pengguna jalan raya harus berhati-hati dan memandu dengan cermat untuk pulang menyambut hari raya bersama keluarga.

"Kita melihat ada yang mengambil cuti awal pulang ke kampung dan ada juga yang pulang saat akhir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nor Azian Yusoff, 45, dari Meru, Klang dan ingin pulang ke Kampung Chenulang, Kuala Krai pula berkata, beberapa jalan mulai sesak berikutan jumlah kenderaan meningkat.

Katanya, dia bersama keluarganya bertolak pada pukul 2 pagi tadi dan trafik perlahan dekat Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak serta berlaku kesesakan di bandar Bentong, Raub dan Kuala Lipis.

"Kita dah biasa dengan kesesakan jalan raya setiap tahun. Kita tempuh saja, asalkan dapat pulang beraya bersama keluarga di kampung," katanya. - K! ONLINE