Katanya, keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan insentif tersebut kepada RM1,000 yang dikemukakan oleh Lembaga Pengarah Felda sebelum ini.

"Keputusan (sebelum ini dicadangkan) oleh Lembaga Pengarah Felda dan mereka ini profesional serta berwibawa dan berpendapat bahawa pemotongan tersebut perlu dilakukan berikutan kedudukan kewangan Felda ketika itu yang amat kritikal.

"Namun sebagai kerajaan yang peduli peneroka, saya telah mengambil maklum cadangan Lembaga Pengarah Felda dan bersama-sama Timbalan Menteri, Mohd. Radzi Md Jidin kami bertemu dengan perdana menteri sebanyak empat kali sebelum kertas putih dibentangkan dan Perdana Menteri tidak bersetuju dengan cadangan pemotongan itu dalam keadaan ekonomi sekarang yang amat membebankan peneroka Felda," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek perumahan generasi baharu Felda di Palong 8, di sini yang turut disertai Mohd. Radzi, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan negeri,Dr Mohamad Rafie Ab Malek; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad dan Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar. - Bernama