Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau percaya dengan kelulusan pindaan itu, parti akan menjadi lebih kemas.

Perdana Menteri berkata, perwakilan bersetuju supaya parti mempunyai ahli bersekutu bukan Bumiputera, namun tidak bersetuju mereka memegang jawatan dalam jawatankuasa parti.

"Itu pendirian mereka. Oleh kerana ini nampak pendapat majoriti, kita terima iaitu tiada ahli jawatankuasa akan dipilih dengan penyertaan ahli bersekutu atau ahli yang bukan pribumi," katanya pada sidang media selepas perhimpunan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan para perwakilan. - Bernama