“Ini kerana pindaan kepada klasifikasi sisa plastik yang dicadangkan menerusi konvensyen yang diratifikasi sejumlah 187 negara itu memerlukan ‘prior informed consent‘ (PIC) dari negara pengimport sisa plastik terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan sisa merentasi sempadan dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, katanya, sisa plastik diklasifikasikan di bawah Annex IX Konvensyen Basel tidak menjelaskan sama ada sisa itu boleh dikitar semula atau sebaliknya dan tidak memerlukan kelulusan PIC dari negara pengimport sisa berkenaan.

“Dengan pindaan (konvensyen) ini, sisa plastik diklasifikasikan dengan lebih jelas dan negara pengeksport sisa plastik perlu mendapatkan pertimbangan khas ataupun PIC dari negara pengimport sebelum sebarang pergerakan sisa plastik merentasi sempadan dilakukan,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Persidangan Konvensyen Basel ke-14 yang berlangsung dari 29 April hingga 10 Mei lalu di Geneva, Switzerland, dihadiri tiga pegawai Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan seorang pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata, Malaysia juga menyokong penuh cadangan Norway supaya sisa plastik disenaraikan di bawah Annex II dalam Konvensyen Basel iaitu kategori sisa yang memerlukan pertimbangan khas.

Mengulas kemasukan sisa plastik haram ke negara ini, Bee Yin berkata, lima kontena mengandungi sisa plastik tercemar yang sebelum ini melalui pengisytiharan palsu, telah disekat kemasukannya ke negara ini oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dihantar pulang ke negara asal iaitu Sepanyol.

Katanya, Malaysia menjadi destinasi utama pengimportan plastik tercemar dari negara asing sejak negara China melarang pengimportan sisa plastik pada 2018.

“Malaysia telah mengalami kemasukan sisa plastik bercampur yang tercemar dari negara asing dan sehingga kini, JAS mengambil tindakan ke atas 148 kilang kitar semula plastik haram,” katanya. - Bernama