Amalina yang juga pakar bedah di London kini menganggap perbuatan para guru yang menjual produk ‘pil minda’ adalah tidak beretika dan perlu dilaporkan kepada pihak berwajib.

Beliau juga meminta agar Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku terbabit.

“Saya dimaklumkan bahawa ada ramai guru yang menjual ‘pil minda di sekolah…malangnya… @maszlee sila ambil maklum. Terima kasih.

“Tolong jangan manipulasi pelajar anda untuk membeli produk sedemikian.

“Buat ibubapa dan para pelajar, kerja keras adalah kunci, diet sihat yang seimbang juga penting dan memakan ‘pil minda’ tidak akan jadikan anda seorang ‘Einstein’ (Albert Einsten),” katanya menerusi laman Twitternya, @DrAmalinaBakri, baru-baru ini.

Amalina turut menambah, beliau tidak pernah sesekali mengambil ‘pil minda’ dan berkata, “Alhamdulillah I do just fine academically”.

Menjawab soalan seorang pengguna Twitter @iqbalazhr sama ada kismis juga tergolong dalam kumpulan sama seperti ‘pil minda’ itu, Amalina menjawab “Ambil kismis yang segar, bukan yang diproses di dalam botol”.

Amalina sebelum ini merupakan antara pelajar cemerlang negara dan mendapat 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2004. - Bernama