Pengerusinya, Tan Lian Hee berkata, langkah itu penting bagi menjamin keselamatan dan keselesaan kira-kira 1,435 pelajar dan 100 warga kerja sekolah berkenaan.

"Kami (persatuan) juga bercadang mahu membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap kilang tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sekolah berkenaan, di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, sekolah itu terpaksa ditutup selepas sekali lagi berlaku kebocoran gas ammonia di kilang ais terbabit.

Menurut Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim, tujuh pelajar sekolah itu dikejarkan ke dua hospital berasingan selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas.

Mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Bernama