Dalam perlawanan yang disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu, pasukan pilihan Selangor yang dibimbing oleh B.Sathianathan melakukan serangan bertali arus melalui gandingan pemain berpengalamannya Mohd Amri Yahya bersama penyerang import Ifedayo Olusegun dan Sandro Da Silva.

Gol tunggal perlawanan hadir dengan gerakan cantik antara Amri Yahya dengan Khyril Muhymeen yang bijak memperdayakan pertahanan pilihan Singapura sebelum menghantar bola kepada Ifedayo yang melakukan tandukan cantik menewaskan penjaga gol pilihan Singapura, Shazwan Buhari pada minit ke 19.

Bermula separuh masa kedua, pilihan Selangor dan pilihan Singapura bermula garang apabila saling berbalas serangan tetapi berjaya dipatahkan oleh jentera pertahanan masing-masing.

Pilihan Selangor berpeluang menjarakkan kedudukan apabila Syahmi Safari bijak melakukan hantaran kepada Nurridzuan Abu Hassan yang tidak dikawal, bagaimanapun, rembatan Nurridzuan terkena pertahanan lawan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menyampaikan piala kejohanan kepada pasukan pilihan Selangor.

Turut berkenan hadir menonton perlawanan berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dengan kemenangan ini pilihan Selangor telah berjaya memenangi Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali manakala pilihan Singapura sebanyak tujuh kali sejak ia dipertandingkan pada 2001.

Terdahulu, skuad veteran Singapura berjaya menebus kekalahan pada edisi lepas apabila berjaya menewaskan veteran Selangor 2-0 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan.

Pada aksi sebelah petang, skuad bawah 15 (B-15) tahun Selangor merangkul Piala Cabaran Sekolah Selangor-Singapura selepas menundukkan skuad B-15 Singapura 3-1. - Bernama