Perak dilihat banyak menunjukkan corak menyerang pada awal babak pertama perlawanan bagi mencari jaringan awal selepas kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung 1 Mei lalu.

Usaha tuan rumah bagaimanapun berhasil melalui pemain import baru, Ronaldo Henrique Silva yang membuat penampilan pertamanya bersama Perak apabila dia mudah menyempurnakan hantaran rakan sepasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-23.

Dua peluang baik yang diperolehi PKNP FC melalui Giancarlo Lopes Rodrigues dan Muhammad Fadhil Idris masing-masing pada minit ke-35 dan minit ke-40 bagaimanapun tidak membuahkan jaringan apabila bola tersasar dari gawang gol.

Bermula babak kedua, pemain penyerang pelawat, Yashir Armando Pinto gagal menanduk masuk bola ke gawang Perak selepas dia mendapat hantaran bola hasil sepakan sudut Kapten, Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-52.

Perak turut menyusun beberapa gerakan bagi mendapatkan jaringan kedua mereka namun rembatan yang dilakukan pemainnya tidak tepat ke sasaran. 

Giancarlo Rodrigues menggembirakan penyokong PKNP FC apabila dia berjaya meledak bola masuk ke gawang Perak selepas mendapat tolakan pendek daripada Hafiz Ramdan pada minit ke-72. 

Anak buah Mehmed Durakovic berpeluang memperolehi jaringan kedua menerusi pemain pertahanan, Zachary Michael Anderson namun tandukannya disekat palang gol pada minit ke-81. 

Usaha tuan rumah bagaimanapun berhasil menjaringkan gol kedua Perak apabila Ronaldo menanduk masuk bola ke gawang PKNP FC selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan, Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-88. 

Keputusan The Bos Gaurus mengatasi PKNP FC 2-1 kekal sehingga wisel penamat perlawanan ditiupkan pengadil, Fitri Maskon. - K! ONLINE