Anak-anak buah Mehmed Durakovic yang mahu mencari sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos untuk mara ke pentas final itu bermula dengan garang sebaik saja wisel perlawanan ditiupkan.

Beberapa percubaan Perak pada awal perlawanan dilihat memberi tekanan kepada pasukan lawan.

Percubaan demi percubaan dilakukan The Bos Gaurus akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-35 melalui pemain tengah, Brendan Gan apabila dia menanduk bola masuk ke gawang selepas mendapat hantaran bola sepakan sudut daripada rakan sepasukan, Muhammad Firdaus Saiyadi.

Sorakan penyokong Perak kembali bergema pada minit ke-42 apabila pemain penyerang tuan rumah, J. Partiban membawa bola masuk ke kotak penalti sebelum merembat bola ke gawang Pahang menewaskan penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Selang seminit kemudian, Perak berjaya meraih jaringan ketiga mereka melalui gol sendiri pertahanan pelawat, Mohd. Faisal Mohd. Rosdi yang tertampan masuk bola ke gawang sendiri dalam usaha untuk mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Pahang banyak menyusun gerakan untuk mendapatkan jaringan namun serangan mereka berjaya dipatahkan barisan pertahanan Perak.

Pemain gantian Pahang, Saddil Ramdani hampir menghadiahkan jaringan buat pasukannya pada minit ke-81 namun rembatan kencang dari luar kotak penalti sedikit tersasar.

Perak hampir memperolehi jaringan keempat mereka apabila jaringan Raianderson Da Costa Morais atau Careca dibatalkan apabila dia dikesan berada dalam kedudukan offside pada minit ke-83.

Tiga minit kemudian, Pahang sekali lagi hampir dibolosi buat kali keempat apabila tolakan Kenny Pallraj selepas mendapat hantaran rakan sepasukan, Mohd. Nor Hakim Hassan berjaya diselamatkan Helmi Eliza.

Keputusan akhir Perak berjaya menumpaskan Pahang 3-0 di hadapan lebih 20,000 penyokong setia mereka sekali gus mara ke peringkat akhir Piala FA dengan agregat 4-3. - K! ONLINE