Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan tersebut memperlihatkan PH masih bersifat pembangkang walaupun kini telah menerajui kerajaan Persekutuan.

"Kalau benar-benar kerajaan terbuka, beri peluang kepada semua akhbar sama ada Utusan Malaysia, Berita Harian dan Star.

"Kakitangan Kementerian Pendidikan boleh menilai sendiri berita yang dikeluarkan dan bukannya memberhentikan. Ini bermakna mereka (PH) menyekat kebebasan akhbar," katanya ketika ditemui pemberita dalam program ziarah kasih di Kampung Jawa sebentar tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat perkeliling pembatalan serta-merta langganan akhbar Utusan Malaysia di Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan oleh penasihat khas Menteri Pendidikan kepada Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas. 

Ismail Sabri yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menegaskan tindakan tersebut membuktikan sikap pilih kasih PH terhadap sesuatu akhbar.

"Akhbar yang menyokong sahaja kerajaan PH bantu, akhbar yang tidak menyokong tidak perlu dibaca," katanya.

Ditanya pemberita sama ada tindakan itu berniat memusnahkan Utusan Melayu amnya, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan itu berikutan PH dari dahulu menolak akhbar Utusan Malaysia.

"Apa yang hendak ditakutkan (pada akhbar Utusan Malaysia) kerana laporan dikeluarkan akhbar itu adalah adil.

"Ada laporan pasal pembangkang namun banyak menjadi (berita) muka depan adalah kerajaan," katanya. - K! ONLINE