Pemimpinnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya tidak dapat membuat pengumuman nama yang bakal dipilih menjawat jawatan itu kerana masih menantikan surat pelantikan rasmi Menteri Besar.

"Kita dah ada nama (calon MB) yang mana perkara itu telah dibincangkan di peringkat negeri dan atasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini awal pagi tadi.

Ketika ditanya nama-nama calon Menteri Besar tersebut, Mukhriz enggan mendedahkannya dan meminta semua pihak menunggu.

Difahamkan pemimpin PH, Mukhriz yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra bakal dipilih sebagai Menteri Besar baharu.

Nama-nama lain yang disebut sebagai calon Menteri Besar ialah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Kedah, Datuk Johari Abdul yang memenangi DUN Gurun dan Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang menawan kerusi DUN Anak Bukit.

PH yang bertanding menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya merampas sebanyak 18 daripada 36 kerusi DUN di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam.

Pas dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memenangi 15 dan tiga kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen, PH menawan 10 kerusi Parlimen diikuti Pas tiga kerusi dan BN hanya dua kerusi Parlimen. - K! ONLINE