Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, ini kerana sebagai parti pemerintah di Kedah, kedudukan PH tidaklah terlalu kuat dan ia memerlukan kesepakatan dan perpaduan yang kukuh antara Bersatu, Amanah, PKR serta DAP bagi mengekalkan pemerintahan di negeri ini.

"Saya berpendapat bahawa kita tidak harus tumpu pada kedudukan diri kita, iaitu sama ada kita dapat itu atau ini, sama ada kita dapat jawatan atau tidak, kita tentukan bahawa kita bergerak sebagai kerajaan campuran dan bukan sebagai parti-parti yang berasingan," katanya menerusi rakaman video yang disiarkan pada Konvesyen Kepimpinan PH Kedah di sini hari ini. 

Majlis perasmian konvensyen itu disempurnakan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Dalam rakaman video itu, Mahathir turut meminta agar konvensyen itu menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama dan bukannya mengenai kedudukan sesuatu parti atau individu tertentu kerana ia dikhuatiri akan melemah serta menyukarkan perpaduan dalam PH. - Bernama