TH menerusi kenyataan hari ini memberitahu petugas itu merupakan kumpulan kedua petugas awal yang tiba bagi membuat persiapan menyambut ketibaan jemaah haji yang akan tiba kira-kira seminggu lagi, yang mana kumpulan pertama petugas seramai 13 orang telah tiba pada 23 Jun lepas.

"Mereka merupakan sebahagian dari 640 orang petugas yang akan menyantuni jemaah haji negara pada musim haji kali ini. Kumpulan petugas lain akan tiba secara berperingkat bersama jemaah haji bermula 4 Julai ini.

"Para petugas haji yang tiba dengan berpakaian ihram ini telah menunaikan umrah sebelum bergerak ke sektor masing-masing di Mekah dan Madinah pada hari Jumaat, 28 Jun," menurut kenyataan itu.

Suasana di Mekah dan Madinah masih lengang kerana jemaah haji dari seluruh dunia hanya akan mula memasuki Mekah dan Madinah secara berperingkat bermula 1 Zulkaedah atau 4 Julai ini.

Cuaca pada musim haji tahun ini dijangka panas dengan suhu terkini sudah mencecah 32 hingga 47 darjah Celsius dan ia merupakan salah satu cabaran bagi 30,200 jemaah haji Malaysia sepanjang mengerjakan haji, menurut  kenyataan itu lagi.

TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos 2019. Hari wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah bersamaan 10 Ogos ini. - Bernama