Berlangsung selama 14 hari, kempen yang memasuki edisi ketiga ini sekali lagi menawarkan pelbagai tawaran dan promosi harga menarik berdasarkan tema tersendiri setiap hari, termasuk diskaun sehingga 99% pada hari bonanza 9 September nanti.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata,  pihaknya menyasarkan peningkatan trafik yang lebih tinggi berbanding dengan pencapaian mereka tahun lalu di mana menyaksikan pertambahan bilangan tiga kali ganda pesanan barangan serta lima kali ganda trafik atas talian.

“Shopee telah mula berkembang pesat sejak beberapa tahun lepas dan mula menjadi destinasi beli-belah atas talian pilihan utama bagi peniaga dan juga pelanggan bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau ini.

“Ini kali ketiga kami mengadakan acara tahunan beli-belah 9.9 ini di Malaysia. Justeru bagi menghargai pelanggan setia Shopee, kami mengukuhkan lagi jalinan kerjasama kami dengan jenama-jenama terkenal dalam memastikan lebih banyak harga ekslusif ditawarkan kepada anda semua,” jelas Ho pada majlis pelancaran kempen tersebut di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan penglibatan lebih 10,000 peniaga, 120 jenama dan 40 rakan korporat, pelanggan Shopee kini dapat menikmati pilihan produk dalam pelbagai kategori yang lebih luas selain berpeluang memenangi potongan serta tawaran harga yang istimewa sepanjang kempen ini.

Lebih menarik, jelas Ho, tawaran ekslusif ini turut melibatkan jenama produk artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza, Nora Danish dan Emma Maembong selain jenama hebat lain seperti Nestle, L’Oreal, Honor, Russel Taylor, Mead Johnson, Elianware, Her Jewellery, Thunder Match, Watsons dan PETPET.

Selain itu, Shopee sekali lagi menawarkan peluang kepada pelanggannya untuk memenangi rebat pembelian seterusnya menerusi syiling yang dimenangi dalam permainan Super Shopee Shake di mana sebanyak 99 juta syiling tersedia untuk dimenangi.

Menerusi permainan ini, pelanggan hanya perlu menggoncangkan telefon pintar mereka sepantas mungkin dalam masa yang diberikan sehingga tamat.

Sebanyak 9 slot permainan ini akan dibuka pada 9 september nanti dengan pelanggan boleh bermain sebanyak dua kali bagi satu slot (18 kali dalam masa 24 jam).

Bagi maklumat lanjut, layari laman web shopee.com.my/99 atau muat turun aplikasi Shopee secara percuma menerusi Apple AppStore serta Google PlayStore. - K! ONLINE