Mangsa, Kenneth Khoo Kah, 51, yang juga bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Klinik Kesihatan Batu Arang di sini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, sebelum itu, mangsa difahamkan sedang menunggang basikal bagi acara berkenaan dari Kolej Vokasional Kuala Selangor, Bestari Jaya pada pukul 10 pagi.

“Menurut penganjur kejohanan, mangsa telah berhenti di tepi jalan untuk berehat kerana mengalami masalah pernafasan namun secara tiba-tiba dia pengsan.

“Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Batu Arang di sini dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi oleh pihak klinik tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Samsor menambah, berdasarkan kenyataan daripada pihak klinik, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana terjatuh daripada basikalnya sebaliknya mempunyai masalah jantung.

“Terdapat kesan lebam yang kebiruan di bahagian lehernya akibat serangan jantung tersebut.

“Kes tersebut dikelaskan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat. - K! ONLINE