Menurut Ketua Polis Papua, Suryadi Diaz, pesawat berkapastiti 10 penumpang itu dinaiki sembilan orang dipercayai berkemungkinan terhempas di kawasan Pergunungan Bintang, Provinsi Papua.

Pesawat yang dinaiki tujuh penumpang, dikendalikan seorang juruterbang dan pembantu juruterbang berlepas dari Lapangan Terbang Tanah Merah Kabupaten Boven Diguel menuju Lapangan Terbang Oksibil, Kabupaten Pergunungan Bintang pada pukul 1.50 petang waktu tempatan.

“Pesawat itu menghubungi menara Lapangan Terbang Oksibil pada pukul 2.17 petang tadi sebelum hilang.

"Pesawat Dimonim Air seharusnya sudah mendarat di Bandara Oksibil pada pukul 2.30 petang waktu Indonesia Timur,” katanya dipetik media dalam talian.

Pihak berkuasa kini menggerakkan operasi mencari pesawat berkenaan.

"Penduduk Kampung Okatem di Oksibil mendakwa mereka terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan pergunungan berdekatan kampung itu," katanya.

Berdasarkan maklumat syarikat penerbangan Dimonim Air, Suryadi berkata, pesawat itu dinaiki sembilan orang termasuk juruterbangnya, kapten Lassie dan pembantu juruterbang, Wayan Sugiarta.

Tujuh penumpang yang berada dalam pesawat tersebut dikenal pasti sebagai Sudir Zakana, Martina Uropmabin, Hendrikus Kamiw, Lidia Kamiw, Jamaludin, Naimus dan Jumai. - Bernama