Tertuduh, Zahari Daud, 59, dan Mior Mohd. Syamsul Jalaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap masing-masing empat dan 23 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut empat pertuduhan ke atas Zahari, tertuduh iaitu sebagai seorang yang diamanahkan kad inden minyak milik PDRM didakwa dengan curang melakukan pecah amanah menggunakan harta itu bagi pembelian bahan api diesel membabitkan nilai RM7,833.43.

Kesalahan itu dilakukannya pada 30 November dan 2 Disember 2016 di empat stesen minyak di sekitar negeri ini.

Manakala Mior Mohd. Syamsul didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan nilai RM13, 851.42 yang dilakukan di sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Perak sejak Januari 2016 hingga Mei 2017.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal, mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Zahari manakala RM5, 000 bagi setiap pertuduhan yang didakwa ke atas Mior Mohd. Syamsul.

Mior Mohd. Syamsul diwakili Peguam Mohd. Fadzlullah Ramlee manakala Zahari tidak diwakili peguam.

Ahmad Sazali kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM15,000 dan RM25, 000, selain menetapkan tarikh 22 Julai depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. - K! ONLINE