Mohd. Hezriza berkata, beliau kini amat memerlukan bantuan dari segi perubatan untuk penyakit goutnya bagi membolehkan dia menguruskan diri sendiri seperti dahulu.

“Jika boleh duduk atau berdiri pun saya sudah bersyukur dan sebolehnya saya mahu meringankan bebanan yang ditanggung isteri saya sekarang," katanya yang mempunyai tiga cahaya mata.

Menurutnya, akibat penyakit gout itu, beberapa anggota sendinya mulai bengkak sejak tahun 2011.

“Bagaimanapun, bengkak itu semakin teruk sejak bulan Mac tahun lalu hingga membataskan pergerakan saya seharian. 

“Saya tidak mampu keluar bekerja kerana tidak  boleh bergerak selain tidak boleh mengiring ke kiri dan kanan dalam keadaan terbaring. Namun saya masih mampu menjalankan perniagaan di atas talian bagi menampung kehidupan kami sekeluarga,” katanya. 

Tambah Mohd. Hezriza, walaupun kedua-dua belah kaki dan tangan sudah bengkak, namun salah satu jari tangannya masih boleh digunakan untuk mencari rezeki melalui perniagaan di atas talian.

“Selagi kudrat ada, saya akan gunakan kerana tidak mahu meraih simpati dan mnyusahkan orang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serdang , Sitiawan di sini.

Katanya, dia kini dijaga sepenuhnya oleh isteri, Rohaida Md. Tahir, 35, yang terpaksa berhenti kerja kerana mahu menjaganya sepenuh masa. 

Rohaida menjelaskan, setiap bulan dia terpaksa membelanjakan sehingga RM250 untuk perbelanjaan rawatan serta keperluan suami seperti lampin pakai buang dan ubat-ubatan.

“Kami terpaksa menggunakan wang simpanan dan pencen suami yang ada untuk perubatan dan perbelanjaan harian,” katanya. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubunginya di talian  011-21541671 atau ke alamat rumahnya di 98B Lorong Indah Kampung Serdang, Sitiawan, Perak. - K! ONLINE