Xi yang diiringi delegasi CPC dan Mahathir berbincang mengenai hubungan dagangan antara kedua-dua negara selain memperkukuh hubungan dua hala, dalam pertemuan mereka yang berlangsung selama kira-kira setengah jam.

Xi yang juga Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Guangdong, dalam mesyuarat itu mengucapkan terima kasih kepada Mahathir bagi pihak Presiden China, Xi Jinping berhubung pendirian beliau di tengah-tengah kemelut perang perdagangan Amerika-China.

Xi turut menyatakan bahawa di bawah kepimpinan Mahathir, Malaysia akan mencapai kemajuan lebih jauh dan beliau turut menyampaikan undangan kepada Mahathir untuk melawat Guangdong.

Guangdong dengan jumlah penduduk seramai 113 juta orang, mencatat jumlah Keluaran Dalan Negeri Kasar (KDNK) sebanyak US$1.5 trilion (RM6.24 trilion) pada tahun lepas.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan Naib Menteri Jabatan Antarabangsa CPC, Guo Yezhou. - Bernama