Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun baharu sahaja memegang tampuk pemerintahan kira-kira setahun, kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan berhasil dalam banyak perkara mengambil kira kedudukan kewangan negara yang diwarisi sebelumnya. 

"Dalam hal ini, Patik akan terus memastikan jentera Kerajaan Tuanku tidak berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai setakat ini.

"Usaha-usaha akan terus dilipatganda untuk mengembalikan Malaysia menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia," katanya semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16  di Istana Negara hari ini.

Mahathir yang mewakili seluruh rakyat negara ini, turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskadariah sebagai Raja Permaisuri Agong. 

 Mahathir turut merakamkan junjungan kasih kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, sepanjang pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 sehingga 6 Jan lepas. 

Dalam ucapannya, Mahathir memaklumkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara masih berterusan dan inisiatif-inisiatif untuk membina semula negara supaya menjadi lebih maju terus giat dilaksanakan. 

Katanya, walaupun dunia kini dilanda ketidaktentuan ekonomi dan pergolakan geopolitik, namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara mampu untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut sekali gus meminimakan kesan buruk yang mungkin hadapi.

Perdana Menteri berkata, pembangunan negara tidak akan bermakna jika terdapat rakyat yang masih hidup dalam kesusahan dan terpinggir daripada limpahan pembangunan, justeru kerajaan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan program-program kesejahteraan hidup rakyat. 

Ini termasuk usaha untuk mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup dengan meningkatkan kuasa beli dan menghapuskan jurang pendapatan antara kelas, kaum dan wilayah, katanya.

Dalam menjayakan usaha itu, kata Perdana Menteri, kerjasama semua pihak amat diperlukan agar kenaikan harga barang dan kos sara hidup dapat ditangani secara holistik. - Bernama