Sebelum menangguhkan mesyuarat, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, persidangan kali ini beliau sifatkan sebagai sangat bersejarah kerana peralihan kuasa yang berlaku buat kali pertama di negara ini berjalan dalam keadaan penuh aman dan harmoni

"Ini membuktikan kematangan ahli parlimen dalam mengurus kepelbagaian yang wujud dalam negara ini. Ahli yang berhormat saya sebagai Tuan Yang Dipertua dan mewakili kedua timbalan saya ingin merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada ahli yang berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis  mesyuarat dapat disempurnakan dalam tempoh 20 hari ini," katanya.

Mohamad Ariff menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai kerajaan, pegawai parlimen, wakil media serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam pengendalian majlis mesyuarat dewan kali ini.

Persidangan kali ini memulakan mesyuarat pertamanya pada 16 Julai lepas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu dengan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya.

Sebelum PRU-14, kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 5 April lepas sebelum ia dibubarkan pada 7 April untuk memberi laluan kepada PRU-14 diadakan.

Menurut takwim Dewan Rakyat dalam laman web mesyuarat, persidangan akan datang dijangka  diadakan dari 15 Oktober hingga 11 Disember. - Bernama