Kerusi keselamatan kanak-kanak itu diserahkan kepada pemandu Perodua bertuah yang membawa anak-anak berusia kira-kira antara dua hingga enam tahun di stesen minyak Petronas R&R Rawang (Lebuh Raya PLUS), Bentong (Lebuh Raya Karak) dan Seremban (Lebuh Raya  KL-Seremban).

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Zahari Husin berkata, ia adalah sebahagian daripada kempen keselamatan jalan raya yang dilancarkan pada Oktober lalu.

"Kami mengambil inisiatif khas ini kerana prihatin terhadap keselamatan pelanggan dan keluarga mereka. Kami berharap rakyat Malaysia sedar kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam menjamin keselamatan anak-anak mereka ketika kenderaan bergerak," katanya dalam kenyataan di sini.

Ini adalah kali pertama Perodua menganjurkan acara sedemikian dengan kerjasama rakan niaga iaitu Petronas dan panel insurans mereka. -Bernama