Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, syarikat yang berminat diminta mengemukakan cadangan permohonan atau Request for Proposal (RFP) masing-masing untuk dinilai pihak kementerian.

"Mana-mana pihak boleh memohon termasuk daripada Lembaga Pertubuhan Peladang sendiri atau syarikat swasta.

"Seterusnya di peringkat akhir, kita akan lihat pihak atau syarikat mana yang dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk dipersetujui," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan di sini hari ini.

Kata beliau, keputusan tersebut dijangka diperoleh dalam tempoh enam bulan ini.

Menurut Salahuddin, pemilihan syarikat yang berkemampuan mengambil alih peranan Bernas bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan isu jaminan tahap keselamatan makanan negara.

"Ramai orang keliru dan beranggapan (ambil alih peranan Bernas) hanya untuk mendapatkan permit import (AP) beras kemudian jual kepada pemborong untuk buat keuntungan.

"Ia tidak semudah itu kerana ia berkaitan isu keselamatan makanan negara dan tugas sosial yang perlu dipenuhi dengan sempurna," ujarnya.

Beliau berkata, Bernas bukan sahaja memperoleh AP beras tetapi badan itu juga perlu memenuhi tanggungjawab dalam memastikan jaminan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

"Selain dapat permit import beras, Bernas berperanan menjadi pembeli padi terakhir," ujarnya.
Tambahnya, kementerian juga akan mencadangkan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh disumbangkan ke dalam tabung pelaburan yang akan dikembalikan untuk kebajikan petani. - K! ONLINE