Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tindakan boleh diambil jika ada kementerian, agensi dan jabatan kerajaan gagal melunaskan bayaran tersebut seperti diputuskan dalam Kabinet.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sudah sedia maklum mengenai kadar baharu itu dan akan mengeluarkan garis panduan rasmi mengenai perkara itu dalam masa terdekat.

"Sepatutnya agensi yang tidak mengikut kadar bayaran elaun berkenaan boleh dikenakan tindakan. Menteri perlu memastikan kadar itu dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Keusahawanan Digital eUsahawan Young Heroes di Kementerian Belia dan Sukan, di sini hari ini.

Semalam, beliau mengumumkan kadar elaun bagi anak muda yang menjalani latihan praktikal di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan akan dinaikkan daripada RM300 sebulan kepada kira-kira RM900 sebulan.

Syed Saddiq berkata, beliau mendapat maklumat bahawa ketika elaun ditetapkan pada kadar RM300 sebelum ini pun masih terdapat kementerian yang tidak melaksanakannya. 

Katanya, beliau dimaklumkan terdapat kementerian yang mengambil sehingga 300 pelatih amali namun hanya membayar kepada 50 pelatih sahaja dan majoritinya tidak dibayar langsung. 

Menurut Syed Saddiq, elaun latihan praktikal di sektor kerajaan perlu dinaikkan kerana jumlah RM300  tidak mencukupi jika seorang pelatih dari keluarga B40 dari Sabah atau Sarawak terpaksa menjalani latihan amali di Kuala Lumpur atau Johor Bahru. - Bernama