Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, ribuan pengguna terjejas dan terpaksa keluar dari perkhidmatan awam terbabit bagi mencari alternatif lain untuk menuju ke destinasi mereka.

Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan laluan lain kecuali stesen Taman Mutiara dan Batu Sebelas.

“Bagi kawasan yang terjejas kita akan menyediakan bas perantara dan pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan lain untuk menuju ke destinasi sementara pihak kami menyelesaikan perkara ini.

“Selain itu, pengguna yang tidak bercadang untuk menunggu dan meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT akan dibayar balik di kaunter perkhidmatan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika dihubungi berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis dari mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan perkhidmatan berkenaan kembali beroperasi seperti biasa pada pukul 8.20 malam selepas tergendala hampir dua jam,” jelasnya. - K! ONLINE