Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang  (PBBPP) Cheok Lay Leng berkata pengoperasian funikular terpaksa dihentikan  sementara waktu bermula 5 November lalu setelah kawasan berkenaan diklasifikasikan sebagai 'zon merah' akibat kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.

Proses pembersihan dan pemulihan dilaksanakan oleh PBBPP dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan, katanya kepada pemberita selepas perasmian pengoperasian semula perkhidmatan itu yang dilakukan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng, di sini hari ini.

"Terima kasih juga diucapkan kepada agensi persekutuan, agensi kerajaan negeri, sukarelawan , persatuan penduduk Bukit Bendera serta kakitangan PBBPP yang telah bekerja keras  bagi memastikan  perkhidmatan funikular dapat beroperasi semula untuk membolehkan pengunjung kembali menikmati keindahan di puncak Bukit Bendera," katanya.

Bagaimanapun Lay Leng berkata, kerja-kerja pemulihan Bukit Bendera masih belum siap sepenuhnya dan kawasan yang mengalami kerosakan termasuk tanah runtuh mesti dibaik pulih. - Bernama