Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pendaftaran tersebut dibuka mulai 1 Oktober hingga 31 Disember tahun ini.

"Kita harapkan peserta utama, seperti Netflix dan sebagainya akan berdaftar kemudian membuat bayaran (cukai perkhidmatan) yang sebenarnya tidak tinggi berbanding kadar yang dikenakan oleh negara lain.

"Kita mencadangkan hanya enam peratus supaya ada persaingan adil antara penyedia perkhidmatan yang ada di dalam negara ini, yang memang sudah membayar enam peratus," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2019 di sini.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019 bagi memastikan satu ekosistem yang seimbang diwujudkan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilapor berkata, kerajaan akan mengenakan dan meremit cukai ke atas perkhidmatan dalam talian (digital) termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital berkuat kuasa 1 Januari 2020. - Bernama